Seoul, 11 April 2025 – ACO Tech telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Bridge Alliance, sebuah perikatan global yang terdiri daripada pengendali telekomunikasi terkemuka berpangkalan di Singapura, dan TMAP Mobility, penyedia platform mobiliti terkemuka di Korea Selatan.
Perkongsian unik ini bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran dan keupayaan semua pihak yang terlibat untuk meningkatkan platform masing-masing dan menjadikan penyelesaian mobiliti pintar lebih mudah diakses di lebih banyak pasaran serantau.
Platform Internet Pelbagai Benda / Internet of Things (IoT) peringkat global yang ditawarkan oleh Bridge Alliance membolehkan penyedia platform mobiliti seperti ACO Tech dan TMAP Mobility mempercepatkan usaha mereka dalam mengembangkan produk kesalinghubungan ke luar negara, sambil menjalin perkongsian strategik dengan pengendali telekomunikasi di pelbagai negara.
Sebagai sebahagian daripada visi bersama untuk berkembang melangkaui sambungan tradisional, kerjasama ini memberi peluang untuk ACO Tech menyertai integrasi penyelesaian mobiliti pintar daripada 35 pengendali ahli Bridge Alliance. Ini berpotensi untuk membolehkan penyelesaian ACO Tech mencapai sehingga 1 bilion pengguna di seluruh dunia dalam rangkaian Bridge Alliance.
Sementara itu, ACO Tech dan TMAP Mobility menyasarkan untuk meningkatkan penawaran produk mereka secara kolaboratif melalui inisiatif ini dengan memanfaatkan kepakaran ACO Tech dalam platform awan kenderaan serta sistem operasi (OS) automotif berasaskan perisian TMAP Mobility. Penyelesaian ini menyepadukan perkhidmatan infotainmen dalam kenderaan TMAP dengan lancar – termasuk navigasi, pembantu suara AI, penstriman muzik dan kedai aplikasi – dengan ekosistem mudah alihnya, memberi perkhidmatan kepada lebih 24 juta pelanggan pada 2024.
Hadir untuk majlis menandatangani Memorandum Kerjasama di Seoul, Korea Selatan, ialah Li Pu; Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Alan Yeo; Naib Presiden Kanan Bridge Alliance, dan Park Soha; Naib Presiden Kanan serta Ketua Data dan Inovasi TMAP Mobility.
“Memorandum Kerjasama dengan Bridge Alliance dan TMAP Mobility merupakan satu langkah yang penting dalam merealisasikan aspirasi ACO Tech untuk menjadi pemain utama dalam sektor mobiliti pintar serantau. Kami telah melalui perjalanan yang panjang semenjak dari memperkenalkan kereta terhubung pertama di Malaysia pada tahun 2019, dan saya berharap dapat meningkatkan lagi ekosistem kami serta mengembangkan jangkauan kami dengan sokongan, pengaruh dan kepakaran Bridge Alliance dan TMAP Mobility,” kata Li.
Pengaruh global Bridge Alliance dan rekod prestasi TMAP Mobility yang terbukti mengukuhkan rangkaian rakan kongsi antarabangsa ACO Tech yang luas, membolehkan ACO Tech memperkayakan ekosistem ATLAS (ACO Tech Local Automotive Services) sendiri dan memastikan penyelesaiannya mudah disesuaikan dengan lebih banyak pasaran eksport untuk manfaat pelanggan OEM dan pengguna akhir.
Tumpuan segera ketiga-tiga pihak ialah pengembangan berterusan perkhidmatan mobiliti bersambung di rantau Asia Pasifik (APAC).