20 Feb ACO TECH, MARii DAN GENO TANDATANGAN MEMORANDUM MEMPERKASA PEMBANGUNAN EKOSISTEM KENDERAAN ELEKTRIK DI MALAYSIA
ACO TECH, MARii DAN GENO TANDATANGAN MEMORANDUM MEMPERKASA PEMBANGUNAN EKOSISTEM KENDERAAN ELEKTRIK DI MALAYSIA
Cyberjaya, 19 Februari 2024 – Pembekal mobiliti pintar, ACO Tech, telah menandatangan satu Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Geno dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk mengkaji penggunaan penyelesaian rantaian blok (blockchain) bagi infrastruktur Kenderaan Elektrik (EV) Malaysia.
MoC tersebut membuka jalan untuk penerokaan penyelesaian rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP). Usaha ini boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data, dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang. EMSP adalah teras Visi Mobiliti Terhubung Kerajaan untuk membantu memperkasa pembangunan infrastruktur EV di Malaysia.
Kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dapat menangani kebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadar pengecasan yang tidak konsisten. Penggunaan penyelesaian teknologi rantaian blok memperkasakan pengeluar EV, penyedia perkhidmatan, dan pemilik/pengguna untuk berinteraksi secara lebih interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat yang tidak boleh disunting. Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar. Selain itu, ia memudahkan perkongsian tenaga dan pengecas, memastikan ketelusan sepanjang kitaran hidup produk dan perkhidmatan.
Kolaborasi ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR). Kerajaan sasar untuk mencapai 20% Kenderaan Elektrik (xEV) menjelang 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050. Perjanjian ini membuka jalan bagi sektor automotif menjadi sektor pertama menggunakan teknologi rantaian blok secara meluas dalam industri di Malaysia. Ia juga akan membantu Kerajaan dalam merealisasikan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) 2020 dengan membina asas kukuh bagi industri untuk berkembang melalui pembangunan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), termasuk EV. Ia juga akan membantu dalam pembangunan infrastruktur EV di peringkat kebangsaan melalui perkhidmatan mobiliti sebagai perkhidmatan (Mobility as a Service) dan rantaian blok sebagai perkhidmatan (blockchain as a service).
MoC tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech Encik Li Pu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Encik Azrul Reza Aziz, dan Ketua Pegawai Eksekutif Geno Encik Zhang Yi Ian.
Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech Encik Li Pu berkata, “Kami teruja dengan prospek pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan Kerajaan dan polisi yang progresif. Sebagai pembekal penyelesaian mobiliti pintar yang utama, ACO Tech bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami serta menyokong semua pihak berkepentingan dalam mencapai matlamat negara. Kami yakin kerjasama seperti ini adalah langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif untuk Malaysia, dengan penekanan pada keselamatan. Dengan menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, Malaysia dapat memacu revolusi EV di Asia Tenggara.”
Ketua Pegawai Eksekutif MARii Encik Azrul Reza Aziz menegaskan komitmen mereka dan berkata, “Kerjasama kami dengan ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara PROTON, ECARX dan Altel Communications, dan Geno, merupakan langkah penting yang dapat mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia. Dengan meneroka penyelesaian rantaian blok, kita tidak hanya menangani cabaran semasa dalam sektor EV tetapi juga membina landasan untuk infrastruktur yang selamat dan boleh dikembangkan selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan 2020. Kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu, memajukan amalan lestari serta inovasi yang mengutamakan pengguna melalui gabungan keupayaan kami.”
Ketua Pegawai Eksekutif Geno Encik Zhang Yi Ian menyatakan kebanggaannya dengan sumbangan pasukan Geno kepada projek ini. “Inisiatif ini merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan transformasi bagi perusahaan yang terlibat ke arah model yang berfokus pada perkhidmatan. Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi yang lebih awal, mendalam, dan berkekalan,” katanya.
ACO Tech, Geno, dan MARii komited untuk mengkaji teknologi yang berdaya maju ke arah Visi Mobiliti Terhubung kebangsaan.